Selamatkah sayur, buah dan bijirin yang kita makan? Mengapa perlunya racun makhluk perosak? Adakah kawalan oleh pihak kerajaan berkenaan hal ini?? Mesti kita risau kerana racun makhluk perosak boleh menyebabkan pelbagai penyakit dan juga menyebabkan kematian.

Sedikit info tentang pengawalan racun makhluk perosak di Malaysia yang dikawal selia oleh Lembaga Racun Makhluk Perosak dan Jabatan Pertanian.

1. Apakah yang dimaksudkan dengan racun makhluk perosak?

Racun makhluk perosak ialah racun makhluk yang meliputi semua racun serangga, racun kulat, racun rumpai, racun tikus, racun siput dan racun makhluk lain yang digunakan dalam bidang pertanian, sektor kesihatan umum, sektor perhutanan dan yang di-gunakan dalam rumah.

2. Apakah Akta Racun Makhluk Perosak 1974?

Akta Racun Makhluk Perosak 1974 ialah satu undang-undang yang digubal bagi mengawal berbagai aspek yang berkaitan dengan racun makhluk perosak yang mana meliputi: -

i) pengimportan, pengilangan racun makhluk perosak melalui pendaftaran dan pengeluaran permit

ii) pengawalan, penjualan dan penyimpanan melalui kaedah-kaedah pelesenan

iii) pengawalan residu racun makhluk perosak dalam bahan makanan, melalui cerakinan dan persampelan hasil pertanian

iv) menjalankan penyiasatan berkaitan dengan kes-kes keracunan yang disebabkan oleh racun makhluk perosak

v) penguatkuasaan undang-undang berkaitan

vi) pengawalan iklan racun makhluk perosak di media massa

vii) pengawalan label racun makhluk perosak melalui Peraturan Perlabelan

viii) pengawalan pengendali kawalan makhluk perosak.

3. Apakah objektif/matlamat Akta ini?

Matlamat Akta adalah seperti berikut:-

i) mengawal perkilangan, penjualan dan penyimpanan racun makhluk perosak di negara ini

ii) memastikan racun makhluk perosak adalah berkesan sebagaimana didakwa pada label

iii) mengawal pemalsuan racun makhluk perosak dari segi kandungan, kepekatan bahan aktif, kemujaraban serta lain-lain sifat yang terdapat pada sesuatu racun makhluk perosak

iv) mengawal residu racun makhluk perosak dalam makanan untuk kegunaan tempatan dan juga untuk eksport

v) mengawal bahaya racun makhluk perosak ke atas pengguna, pengendali, orang awam, ternakan, punca-punca air dan juga alam sekitar.

4. Apa dia pendaftaran racun makhluk perosak?

Ia adalah suatu skim untuk mendaftarkan racun makhluk perosak yang diluluskan untuk diimport, dikilang, dijual dan digunakan di dalam negara ini yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian di bawah arahan Lembaga Racun Makhluk Perosak.

Skim pendaftaran racun makhluk perosak adalah bertujuan menentukan racun makhluk perosak yang dipasarkan adalah berkesan seperti mana didakwa oleh pihak syarikat yang mendaftar dan selamat dikendalikan dengan syarat segala garis panduan dan peraturan penggunaanya dipatuhi.

Pendaftaran juga bertujuan untuk memastikan racun makhluk perosak yang didapati di pasaran itu mengandungi perawis aktif tertentu dalam kuantiti yang betul seperti yang dinyatakan di label dan dalam perumusan-perumusan yang sesuai dan diisi dalam bekas-bekas yang sesuai dan berlabel.

Kepada pekebun/peladang, apabila menggunakan racun makhluk perosak, pastikan anda membaca label racun tersebut dan menggunakan mengikut sukatan dan masa yang disarankan. Jangan gunakan sesuka hati yang boleh mengakibatkan residu racun masih ada pada tanaman terutama pada sayuran dan buah-buahan. Jangan hanya memikirkan keuntungan dan menyebabkan pengguna merana.

Anda juga perlu beretika dan mendisiplinkan diri dalam penggunaan racun ini. Adalah lebih baik jika anda langsung tidak menggunakan racun makhluk perosak.

Insyaallah, nanti saya akan kongsikan info berkenaan residu makhluk perosak dan berkongsi tips menggurangkan/menghapuskan residu makhluk perosak di dalam makanan.

Kredit: http://www.pertanianperak.gov.my/

#foodsafetyfirst
#sazlytulihjer

Kredit: Sazly tulih

Sumber:https://www.facebook.com/BKKMHQ/photos/a.794362353949597/4201203196598812/